Tok Guru - From ICU to Angioplasty : A Relief
Tok Guru being treated at the Perdana Specialist Hospital intensive care unit after suffering chest pains, July 22. (For the note, photo is censored in respect to human rights).
KUALA LUMPUR, 23 Julai - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selamat menjalani pembedahan Angiogram serta Angioplasty di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian awal pagi tadi. Keadaan beliau dilaporkan stabil.
Menurut Ahli Exco kerajaan negeri, Haji Husam Musa, kira-kira jam 11.30 malam tadi, anak Mursyidul Am PAS, Nik Adli yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tiba dari Kem Tahanan Kamunting (Kemta) di Hospital Pakar Perdana untuk melawat ayahnya. Beliau dibenarkan berbuat demikian setelah mendapat kebenaran dari Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) semalam.
Kata Husam, bagaimanapun Nik Adli dikawal ketat oleh pihak berkuasa polis dan penjara. Katanya lagi, pertemuan antara Nik Adli dan ayahnya itu berlangsung dalam keadaan yang sangat dramatik serta mengharukan.
Tambahnya, keadaan itu membuatkan denyutan jantung Tuan Guru Nik Abdul Aziz meningkat dari 82 kebiasaannya hingga 95 denyutan seminit.
Semasa pertemuan itu, Tuan Guru sempat berkata sepatah dua kepada Nik Adli yang kemudiannya sempat melawat ibunya yang turut mengalami gangguan kesihatan dan dimasukkan ke wad bersebelahan dengan Tuan Guru.
Nik Adli dibenarkan melawat kedua-dua ibu bapanya selama setengah jam. Pertemuan ini adalah yang pertama selepas dua tahun lebih Nik Adli ditahan di bawah ISA berikutan dakwaan kerajaan beliau terlibat dengan kumpulan pengganas Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM).
Sejurus selepas itu, beliau (Nik Adli) dihantar semula ke Ibu Pejabat Kontijen Polis (IPK) Kota Bharu, untuk kawalan pihak berkuasa sebelum beliau sekali lagi dibenarkan untuk melawat ayahnya di HUSM pagi ini.
Semalam, kira-kira jam 6.30 pagi, Tuan Guru Nik Abdul Aziz dikejarkan ke Hospital Pakar Perdana akibat diserang sakit jantung dan kencing manis. Beliau dilaporkan kepenatan akibat mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Rabu lalu.
Posted by
Wan Mohd Fahimi @
10:59 AM
|